Bismillah...
Naim baru sahaja menamatkan perlumbaan Cubprix pusingan ke empat yang diadakan pada 24 dan 25 Jun 2022 yang lalu. Perlumbaan pada pusingan kali ini diadakan di Litar Perlumbaan Kuala Trengganu. Litar kali ini lebih kecil berbanding litar di Sepang. Lebih kurang sama saiz dengan litar di Tangkak. Naim nampaknya selesa dengan litar yang lebih kecil. Tapi litar kecil ini mempunyai banyak selekoh-selekoh yang tajam dan agak merbahaya. Jadi untuk berlumba di litar seperti ini memerlukan kecekapan taktikal dan teknikal.Sebagai pelumba amatur, banyak yang naim perlu perbaiki lagi.
Naim beraksi di pusingan empat dengan helmet baru |
Pada sesi kali ini Naim telah berjaya membaiki catatan masa nya dari 1.06s kepada 1.03s. Untuk race day Naim bermula di petak grid 22 namun dengan kesungguhan dia, Naim berjaya menamatkan perlumbaan di position 16 dari meninggalkan 8 pelumba lain. Cik yani yakin dengan latihan yang lebih, Naim boleh menaikkan keyakinannya dan memperbaiki lagi catatan masanya.
Keputusan akhir pusingan empat |
Memandangkan perlumbaan kali ini berlangsung di Trengganu, maka perlumbaan dijalankan pada hari Jumaat dan Sabtu. Pada pagi Jumaat sebelum sesi free practice Naim perlu membuat medical check up dengan team medik di litar. Ini bagi memastikan Naim benar-benar fit to race. Nak tau kenapa? Haaa ni la yang cikyani yang cerita ni.
Pada perlumbaan pusingan ketiga yang lepas, Naim berlumba di Sepang. Pada sesi free practice, Naim telah terbabas dan terjatuh. Lebih tragis lagi, belum sempat dia bangun, kawannya pula jatuh dan menghentam motor Naim. Akibatnya, motor Naim telah menimpa kepala Naim sehingga pecah wisor helmetnya. Sebaik dilanggar, Naim masih boleh berlari ke tepi, ke tempat yang lebih selamat. Sampai sahaja ke tepi, Naim terjatuh dan terus pengsan.
Cikyani yang menonton dari siaran live facebook, agak berdebar masa lihat Naim jatuh. Tapi bila nampak dia berlari ke tepi, cikyani rasa lega. Ingatkan takde perkara serius berlaku. Sehinggalah tamat perlumbaan selepas 10 minit, pihak Malaysian Cubprix hubungi cikyani beritahu yang Naim tak sedar selepas kemalangan. Bagai nak gugur jantung cikyani sewaktu dapat berita tersebut. Mereka beritahu tak dapat hubungi Cikwan yang berada ditrek. Katanya Naim sedang dinaikkan ke ambulans untuk dihantar ke Hospital Putrajaya. Aduhai. Selepas 5 minit, mereka hubungi semula beritahu yang cikwan dah datang ke unit trauma trek dan cikwan akan bersama Naim dalam ambulans ke hospital.
Naim sewaktu kemalangan |
Cikyani masa tu di rumah mama. Bagai lipas kudung cikyani bersiap dan terus mengajak Irfan, anak buah cikyani teman cikyani ke hospital. Walaupun Hospital Putrajaya dengan rumah mama tu tak jauh, tapi pada hari itu, terasa perjalanan ke hospital sangatlah panjang. Cikyani dah pecut kereta pon terasa masih perlahan lagi perjalanan.
Sesampai di hospital, Naim baru sahaja diturunkan dari ambulans dan terus dirawat di yellow zone unit trauma hospital. Naim masih tak sedar. Cikwan pula sedang bercakap-cakap dengan paramedik ambulans tadi. Cikyani nak masuk tengok Naim tak dibenarkan kerana dia sedang dirawat.
penantian satu penyiksaan |
Tak berapa lama kemudian, seorang doktor keluar mencari waris Naim. Terus cikyani dengan cikwan menerpa doktor tersebut. Doktor tersebut mengambil beberapa kenyataan tentang kejadian kemalangan serta waktu kemalangan. Doktor kata Naim dah sedar tapi dia tak ingat. Dia mungkin mengalami concussion. Namun begitu doktor akan buat brain CT Scan, ultrasound dan xray untuk melihat jika naim mengalami kecederaan dalaman. Sementara untuk buat semua prosedur tersebut, Naim terpaksa dipantau di unit tersebut selama 7 jam. Selepas 7 jam jika keadaan Naim semakin baik dan Naim tidak mengalami apa-apa kecederaan dalaman, Naim boleh balik tapi jika sebaliknya, Naim akan ditahan di wad. Sepanjang tempoh 7 jam itu, seminit pon cikyani tak tinggalkan unit tersebut. Dan itulah 7 jam paling lama dalam hidup cikyani rasa pada waktu itu. Dengan tak makan tengahari nya. Hilang semua rasa lapar dan penat. Mulut tak berhenti berdoa. Cikyani bisik pada Naim, "Naim, mama telah maafkan Naim dan telah redho dengan apa sahaja Naim buat. Semoga dengan redho mama ini, Allah permudahkan urusan Naim untuk sembuh". Pada waktu Naim cumam memandang kosong ke atas tapi air matanya mengalir perlahan. Aduhai anak...pedih hati mama tengok Naim macam tu.
Naim dah sedar tapi belum ingat |
Selepas 3 jam, Naim dah mula sedar sepenuhnnya dan mula ingat semula. Xray menunjukkan leher nya tidak cedera. Naim memang tiada kecedaraan luaran. Alhamdulillah suit perlumbaan yang dipakainya itu memang mempunyai ciri-ciri keselamatan. Pengampuh leher Naim dah dibuka dan Naim dah boleh duduk. Dia mula minta makan. Doktor benarkan dia makan. Kelam kabut cikyani dan Irfan cari roti untuknya. Selepas makan, Naim ajak cikyani tidor sebelahnya. Cikyani pon naik katilnya dan baring sebelahnya. Lega hati tengok anak lanang sorang ni dah semakin okay.
gambar dari IG adik cikyani. Naim minta cikyani tidur bersamanya |
Tak lama kemudian doktor nak bawa Naim pergi brain CT Scan dan ultasound. Cikyani tunggu diluar unit trauma. Selepas selesai prosedur tu semua, Naim kata dia mengantuk dan nak tidur. Cikyani biarkan dia tidur. Cikwan dengan Irfan serta adik lelaki cikyani pergi ke Sepang untuk mengambil barang-barang peribadi Naim dan kereta cikwan. Tinggal lah cikyani sendirian menemani Naim untuk menghabiskan sisa lagi 3jam lebih pantauan doktor itu. Hujan lebat. Naim tidur lena. Cikyani yang tak ada rasa mengantuk atau penat.
Jam 6 petang, doktor panggil cikyani. Doktor beritahu yang keputusan prosedur tu semua menunjukkan Naim tidak mengalami kecedaraan yang serius cuma terdapat gegaran yang kuat dikepalanya. Rentetan itu, Naim tidak dibenarkan berlumba pada keesokan harinya dan disuruh berehat selama dua minggu. Leganya rasa hati. Tapi ada satu masalah lain. Naim tidur dan tak mahu bangun. Doktor mula panik. Tapi sebagai emak Naim, cikyani tau memang tabiat tidur Naim ni, bila dah tidur susah nak bangun. Tambahan pula diluar hujan lebat. Memang enak tidur tu.
Selepas lebih setengah jam doktor cuba mengejut Naim dari tidur, akhirnya Naim bangun tapi dia gagal mengingati beberapa perkara asas seperti umurnya dan mengapa dia dihospital. Masa ni cikyani dah mula berdebar. Aduhai. Takkan hilang ingatan budak ni. Doktor bagi Naim beberapa minit tempoh bertenang. Kemudian doktor datang balik dan tanya lagi Naim beberapa soalan. Kalini Naim dapat menjawab soalan doktor tersebut, Lega rasanya. Jam 7.30 malam doktor membenarkan Naim pulang dengan cuti sakit 2 hari. Alhamdulillah syukur. Naim selamat.
Tapi Naim ni jenis tak serik. Esoknya pada race day dia dengan cikwan dah pon berada ditrek. Tapi malangnya doktor di trek tidak membenarkan Naim berlumba Mentelah lagi bila mereka post mortem jentera dan helmet Naim, memang helmet Naim pecah. Doktor suruh Naim balik dan berehat, tak perlu berada di paddock.
Kerana kecedaraan inilah, Naim terpaksa berjumpa doktor di trek dulu sebelum dibenarkan berlumba pada pusingan ke empat baru-baru ini. Sebelum bertolak ke Trengganu cikyani dan cikwan ada sedikit bertelagah. Cikyani rasa berat nak lepaskan Naim berlumba lagi. Trauma tengok Naim jatuh tu masih ada. Tapi cikwan dan Naim bertegas yang dia mampu berlumba dan berjanji akan menjaga keselamatan.
Sebagai emak, cikyani memang terpaksa redho dan menyokong keputusan Naim. Cikyani serahkan pada doktor di trek tersebut untuk membuat keputusan samada Naim fit to race atau tidak. Sambil tu cikyani berdoa semoga Allah permudahkan urusan Naim dan sentiasa lindungi Naim.
Apapun, cikyani doakan semoga semua urusan anak-anak sekalian Allah permudahkan dan anak-anak ini sentiasa dalam rahmat Allah hendaknya. Biar mereka berjaya dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi dan sentiasa menjaga iman dan baik akhlak. Amiin.
Rider no 20 |