Jajat, Cancer NPC dan Chicken Chop

 Bismillah..

Malam ni sama macam malam tadi. Sejuk. Bau hujan membasahi bumi. Tenang. Cuma malam ni entah berapa kali la letrik ni nak trip. Dari petang tadi rasanya dah hampir 6 kali trip. Setiap kali letrik trip, menjeritlah anak-anak. Bukan sebab takut tapi sebab wifi padam. Aduhaii laa anak.

Malam ni cikyani nak cerita perihal adik bongsu kesayangan cikyani. Cikyani ni ada 5 beradik yang seibu dan sebapa. Dalam 5 beradik ni, no 3 sudah dijemput pulang Ilahi ( baca kisah arwah JJ di sini ). Tinggal la kami berempat, cikyani, Angah, Jijip dan Jajat.  Malam ni cik yani nak cerita tentang Jajat.


Jajat, Jijip, Mama, Cikyani, Angah

Beberapa bulan lepas, tiba-tiba Jajat mesej dalam group whatsapp famili beritahu yang dia ada ketumbuhan di leher. Agak besar dan lama. Badan dia pon ada naik gatal-gatal. Dia kata bila dia google, tu simptom kanser limfoma. Cikyani kata kat dia..bukan kot..Mama dan lain-lain minta dia pergi check hospital. Jajat ni isteri dia, Lina adalah seorang jururawat PPUM. Lina pon bawa la dia check di hospital. Jajat kena lalui beberapa prosedur. 

Beberapa minggu sebelum raya haji, Angah call cikyani menangis-nangis. Dia kata Lina dah dapat result Jajat tapi Jajat belum tahu.Lina nak tunggu doktor yang bagitau result Jajat. Kata Angah, Jajat menghidap sejenis kanser NPC. Sejenis kanser hidung yang sama dengan Dato Lee Chong Wei hidap tu. Ada seminggu untuk kami persiapkan diri sebelum Jajat  tahu keadaan dia. Mama pon belum tahu lagi. Cikyani, Angah dan Lina mula membuat pembacaan tentang penyakit Jajat ni. Melalui pembacaan, kanser ini tidak menyakitkan. Kebanyakan penghidap penyakit ini adalah kaum cina memandangkan kanser ini memang berasal dari China dan cuma yang ada genetik cina je yang berkemungkinan menghidap kanser ni. Atok kami, Dato Hj Jaafar Othman adalah anak kepada cina baba. Dari situlah genetik cina kami. Kadar kesembuhan untuk kanser NPC juga tinggi, lebih kurang 80% jika dirawat dengan betul. Lega kami. Cuma nya waktu itu kami tak tau kanser Jajat ni dah peringkat berapa. Makanya kami decide untuk tunggulah apa kata doktor pada Jajat minggu depan tu.

Hari yang ditunggu tiba. Jajat umumkan dalam grup famili, disahkan menghidap kanser NPC stage 2 selepas dia berjumpa doktor. Tapi dia kena jalani prosidur PETSCAN untuk tahu seberapa banyak kanser tersebut benar-benar berada dalam badan dia. Dengan bantuan sepupu kami, Ika yang bekerja di Jabatan  Radiologi PPUM, Jajat berjaya dapatkan tarikh PETSCAN agak cepat iaitu sehari selepas raya Haji. Selepas PETSCAN, cikyani cuba risik-risik keadaan Jajat dari Ika, tapi Ika seakan enggan cerita keadaan sebenar Jajat dan cuma berdoa semoga Jajat lekas sembuh. Cikyani masa tu rasa macam...takpelah..tak ready pula nak tau. Tunggu je la apa kata doktor.


Dua hari sebelum raya Haji, Jajat jumpa cikyani untuk urusan pengangkutan kambing qurban

Beberapa hari selepas itu, Jajat maklumkan,result PETSCAN menunjukkan kanser Jajat telah merebak ke nodes paru-paru dan doktor declare kansernya sudah di stage 4. Taktau la apa cikyani nak cakap. Nak sedih,  Jajat tak kasi sedih. Dia sendiri nampak sangat kuat. Masih bekerja macam biasa. Masih happy macam biasa. Jadi cikyani rasa tak wajar cikyani sedih. Jajat kuat demi mama, Lina dan anak-anaknya. Jadi kenapa cikyani pula nak bersedih hati kan? Kami adik beradik pakat takmau sedih- sedih dan remain strong demi Jajat.

Rezeki Jajat, rawatan untuk Jajat dipercepatkan kerana Lina seorang kakitangan hospital. Temujanji kemoterapi dan radioterapi telah disusun untuknya. Sementara nak tunggu rawatan kemoterapi tersebut, doktor nasihatkan Jajat untuk tidak bekerja berat. Tapi, sebagai seorang ketua keluarga, Jajat memang tak boleh duduk diam. Jajat telah memulakan peniagaan Chicken Chop dan Lamb Chop Frozen.

Sementara tunggu panggilan temujanji rawatan kemoterapi, Jajat memang pulun habis-habisan promote Chicken Chop dan Lamb Chop nya. Sebagai kakak yang acah-acah influencer ni, cikyani pon bantu Jajat promote produk dia. Memang diakui, produk dia memang sedap. Dengan ayam size L, fries, vege dan gravy dalam satu pack, produk Jajat memang diakui, berbaloi dengan harganya.


Menyelerakan sungguh set ni

Pada hari cikyani tulis cerita Jajat ni, Jajat telah pun jalani 3 cycle kemoterapi. Setiap satu cycle, 2 kali. Dan setiap kali kemo Jajat akan merasa lemah. Namun begitu, semangat dia tak pernah lemah. Selepas kemo,  Jajat akan berehat dua tiga hari kemudian sambung jualan Chicken Chop dan Lamb Chop frozennya.

Jadi kawan-kawan, cikyani nak mintak tolong kawan-kawan ni. Pertama sekali tolong doakan kesembuhan adik bongsu cikyani yang sorang ni. Keduanya, tolong support perniagaan kecil Jajat untuk tampung perbelanjaan rawatan dan keluarganya. Korang boleh tolong share artikel ni. Mana tau kalau ada kawan-kawan korang teringin nak makan chicken chop, boleh dia beli dari Jajat. Ni link terus ke whatsapp Jajat untuk order yea (Order chicken chop frozen )

Oh yea..Jajat juga ada buka ejen tau. Dan ayam  Jajat ni dah ada kat Melaka dengan (cikyani )sebagai ejen dan Perak, sepupu kami (Ahmad) sebagai ejen di sana.

Semoga kawan-kawan yang sudi baca cerita panjang lebar ni dan kongsi pula cerita ni mendapat rahmat Allah sentiasa. Nanti ada masa cikyani cerita lagi kisah adik bertuah sorang ni. Macamana dia hadapi kemoterapi, apa kesan pada dia..semua lah. InsyaAllah. Sementara tu, korang jangan lupa share tau artikel ni lepas baca. Link kat atas tu semua korang boleh tekan tau. Jaga diri semua.


Chicken chop frozen ni memang sedap dan berbaloi tau

Selepas rehat beberapa hari kesan kemoterapi terus sambung delivery chicken chop


Post a Comment

Previous Post Next Post