Babah (Tribute to babah)


 Bismillah...

Tahun 2020, Cik Yani pernah mencoretkan beberapa short story pasal arwah Babah di facebook. Rasanya macam sayang pula kalau posting tersebut tak di compile kan disini dan jadikan satu blogpost. Nanti nak baca senang.

Kisah-kisah ni sebenarnya cuma sebahagian dari kisah sebenar kehidupan Cik Yani sewaktu kecik sehingga dewasa. Sengaja Cik Yani coretkan sebagai tanda ingatan pada arwah Babah (Tajuddin Bin Jaafar, 13 Ogos 1955 - 16 May 2014). Semoga Allah ampuni dan rahmati roh arwah Babah dan tempatkan Babah bersama para solehin.

Arwah Babah meninggal dunia tiga bulan selepas arwah adikku, JJ meninggal dunia. Keadaan Babah sewaktu awal JJ meninggal dunia memang sangat tertekan. Asal kami berjumpa Babah mesti menangis dan Babah selalu menyatakan kekesalannya. Takpe Babah, semua orang dah maafkan Babah.


Basikal pertama

Siti dan adik-adiknya seronok bekejar bermain bersama anak-anak jiran. Anak jiran ada basikal baru. Tapi Siti pula yang terlebih teruja bermain bersama mereka. Fitrah budak kecil..bila melihat mainan baru, mestilah Siti pun terasa nak ada mainan baru juga. Tapi Siti tahu. Basikal tu mesti mahal. Nak disuarakan pada Mama dan Babah tak berani pula. Jadi Siti hanya mampu tumpang keseronokan bersama kawannya. 

Naluri kanak-kanak Siti teringin sangat nak cuba basikal baru rakannya itu. Siti suarakan keinginan untuk meminjam basikal rakannya itu. Sekejap pun jadilah. Tiba-tiba Siti diherdik oleh rakannya. "Mana boleh!Basikal aku mahal. Kau nak pergi mintak kat bapak kau! Dia ada bas takkan tak boleh belikan kau basikal!!" Siti yang sedang seronok dan teruja itu tersentak dan berundur ke belakang. Hilang mood Siti untuk terus bermain. 

Babah yang sedang perhatikan anak-anaknya bermain dari pintu rumah nenek, terus capai helmet, pakai selipar dan panggil Siti. Disuruh nya Siti naik motor dan bawa Siti meredah celahan setinggan dan tepi-tepi lombong sehingga sampai ke Kampung Lindungan. 

Sampai di sebuah kedai, Babah pilihkan Siti basikal merah yang paling cantik, ada loceng dan bakul. 

Babah berkata pada Siti "ini basikal pertama Siti..main bersama adik-adik. Jaga elok-elok"

Siti senyum sampai ke telinga. 

Petang itu kali pertama Siti kayuh basikal redah pasir lombong, setinggan dari Kampung Lindungan sampai ke Taman Dato Hormat. Waktu itu usia Siti baru 6 tahun!Babah ikut belakang Siti naik motor. Walaupun jauh dan penat Siti rasa seronok sangat. Siti tak sabar nak tunjuk kat dunia yang Siti juga ada basikal. Babah belikan!!

#babah

Balik sekolah

Hari ini hari pertama Siti di sekolah baru. Darjah 1. Tapi sekolah kedua. Mulanya Siti bersekolah di Bangsar. Tapi bila keluarganya berpindah ke rumah sendiri di Selayang, Babah menukarkan Siti ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah. Sekolah ini agak lama dan besar. Semuanya asing. Di sekolah lama Siti dulu pun, Siti tak sempat ada kawan. Tapi memang Siti jenis tak hairan berkawan. Dari Tadika Siti senang buat apa-apa bersendirian dan Siti tidak takut. 

Sewaktu Babah hantar Siti ke sekolah tengahari tadi, Babah dah pesan pada Siti, petang nanti tunggu Babah bawah pokok besar tepi sekolah. Siti akur. 

Petang itu Siti tunggu Babah sampai jam 7 malam. Baru Babah muncul dengan motor besarnya. Siti panjat belakang motor, pakai helmet,peluk Babah. Dalam perjalanan balik, macam-macam Babah tanya pada Siti. Siti suka waktu tu. Sebab waktu lain Babah sibuk bekerja dan mereka tak sempat berborak. Jadi bila dapat berborak dengan Babah atas motor macam tu, mestilah Siti suka sangat. 

Esoknya di sekolah, Babah kenalkan Siti dengan pemandu bas sekolah yang bakal Siti naik. Siti mengangguk-angguk. Siti tak tahu pun bila sepatutnya Siti mula naik bas tersebut. Tapi sewaktu balik sekolah petang tu, Siti nampak pakcik bas tu ada tepi pagar sekolah. Siti tak cakap banyak terus naik bas tersebut. Dalam bas yang padat tu Siti tertidur. Siti sedar dah malam. Waktu tu pakcik bas dah nak balik ke rumahnya. Siti terpisat-pisat jumpa pakcik bas yang sedang memandu. Terkejut pakcik bas tu melihat Siti masih dalam bas. 

"Allahuakbar. Adik tau tak alamat rumah adik?" 

Sambil mengangguk Siti jawab "No 121, Jalan Bidara 6/1, Taman Bidara"

"Ok pakcik hantar adik sekarang"

Sewaktu sampai di depan rumah, Mama dan Babah sedang gelisah menunggu Siti depan pagar. Jam dah menunjukkan waktu hampir Isya. Mama sedang menangis. Bila Mama nampak Siti turun bas, Mama terus peluk Siti.

Babah terus bersalaman dengan pakcik bas. 

Rupanya Babah belum lagi bayar deposit dan bagi alamat pada pakcik bas. Petang tu sewaktu Babah jemput Siti balik sekolah,Babah panik bila Siti tiada di sekolah.

Babah dan Mama sangat takut kalau-kalau Siti hilang.

Alhamdulillah Siti selamat balik malam tersebut. Mulai petang tu, bermula lah perjalanan Siti pergi dan balik sekolah dengan bas sekolah. Walaupun Siti sedih sebab tak dapat lagi berborak dengan Babah atas motor, tapi Siti kena akur yang Babah bekerja jauh. Susah nak hantar dan jemput Siti ke sekolah.

#babah

Hadiah pertama

Waktu itu Siti darjah 2. Siti tak sabar nak balik rumah bagitahu Mama dan Babah yang Siti periksa nombor 2 dan dapat anugerah pelajar terbaik matapelajaran Bahasa Melayu. Cikgu kata Siti akan naik pentas ambik hadiah nanti.

Sampai rumah Siti melompat-lompat kegembiraan beritahu Mama berita gembira itu. Mama seronok sangat.

Malam itu Siti tidur lewat tunggu Babah balik. Siti nak minta Babah bawa Mama tengok Siti ambil hadiah sebab cikgu kata ibubapa boleh datang tengok murid ambil hadiah.

"Maaf Siti, Babah tak boleh janji. Babah sibuk" 

Siti terus terdiam. Siti tidur dengan perasaan sedikit kecewa.

Sewaktu hari penyampaian hadiah, Siti lihat kawan-kawan lain semua ditemani oleh ibubapa. Siti terjenguk-jenguk cari Mama dan Babah. Sewaku giliran Siti hampir tiba, Siti ternampak Mama melambai-lambai. Siti rasa gembira dan tak sabar nak ambil hadiah.

Selesai ambil hadiah Siti terus jumpa Mama. Siti tercari-cari Babah.

"Mama datang seorang. Babah tak datang. Mama tumpang jiran" Siti mengangguk. Dah agak. 

Malam itu Babah balik kerja awal sikit. Siti dan adik-adik sedang menonton tv. Babah panggil Siti duduk bersamanya di meja makan.

"Siti, Babah minta maaf tak dapat tengok Siti ambil hadiah tadi. Babah bangga dengan Siti. Tahniah yea Siti" kata Babah sambil menghulurkan kotak hadiah. Siti yang hampir merajuk siang tadi kembali gembira. Cepat-cepat Siti buka kotak tersebut. 

"Wah..jam..boleh bertukar robot!! Wah..terima kasih babah" Siti melompat peluk Babah. Terubat luka hati Siti siang tadi.

Malam itu Siti tidur pakai jam tangan yang boleh bertukar jadi robot. Hadiah pertama dari Babah!!

#babah

Rekorder

Lama dah Siti tak jumpa Babah. Sejak Babah hantar Siti, Mama dan adik-adik balik rumah nenek hujung tahun lepas. Kemudian Babah tukarkan Siti dan adik-adiknya bersekolah berhampiran rumah nenek. Babah kata Siti dan adik-adik kena duduk dengan nenek. Mama pun sama. Tapi Babah tak cakap kenapa. Siti tak berani nak tanya kenapa. 

Di sekolah baru, Siti belajar naik bas awam. Lagipun waktu tu Siti dah darjah 4. Siti tak boleh susahkan Mama. Mama kena kerja. Siti kesian tengok Mama. Selalu letih.

Satu hari cikgu muzik beritahu semua murid-murid kena beli rekorder. Siti balik dan beritahu mama yang Siti kena beli rekorder. "Nanti dapat gaji mama belikan" 

Beberapa hari kemudian,sewaktu Siti naik bas awam untuk ke sesi kokurikulum sekolah, Siti terserempak dengan Babah dalam bas. Babah panggil Siti. Seronok betul Siti jumpa Babah. Hilang rindu seketika.

"Siti sekolah baru ok? Siti perlukan apa-apa tak kat sekolah ni?" Tanya Babah. Tiba-tiba Siti teringat Siti seorang je belum ada rekorder dalam kelas muzik.

"Siti nak rekorder. Untuk kelas muzik" 

"Ok jom kita beli"

Seronok betul Siti. Akhirnya Siti akan ada rekorder sendiri. Pemberian Babah.

Nota Siti:

Maaf Babah. Hujung bulan itu Mama belikan Siti rekorder yang lebih elok,susah pecah,susah tercabut. Brand Yamaha. Dengan rekorder dari Mama itu, Siti terpilih untuk menyertai pasukan pancaragam sekolah, mewakili sekolah main muzik merata-rata. Rekorder pemberian Babah, Siti simpan kemas dalam pembalut birunya. Tak guna lagi sebab rekorder itu pecah di muncungnya.

#babah

Belajar Memandu

Sewaktu usia Siti cukup 17 tahun, Atuk mengarahkan Siti ambil lesen memandu. Jadi cuti sekolah itu,Siti habiskan masa tinggal di rumah Atuk untuk belajar memandu. 

Guru memandu Siti waktu itu adalah Babah. Walaupun Atuk mempunya ramai guru memandu yang lain, tapi Atuk arahkan Babah yang ajar Siti memandu.

Siti sedikit berdebar nak mula belajar memandu dengan Babah kerana sudah beberapa tahun Siti tak jumpa Babah.  

Babah nampak tenang. Walaupun sesekali Babah kelihatan janggal.

"Siti, ini cara masuk gear yang betul"

"Siti, macam ni cara memotong dengan selamat"

"Siti, ingat..ini cara pemanduan berhemah"

Sambil mengajar banyak pesanan memandu Babah ajarkan Siti. Babah garang. Babah bawa Siti meredah laluan bandar yang sibuk. Babah ajar Siti jadi pemandu yang cekap. Sehingga lah Siti lulus ujian memandu.

"Siti, untuk jadi pemandu yang cekap dan baik, jangan berhenti memandu. Macam nenek. Walaupun tua dan tak sihat, nenek tetap memandu. Kena banyak bersabar dan jangan tekan hon sesuka hati"  pesan Babah sewaktu Siti menunjukkan lesen memandu Siti.

#babah

Wali

"Babah,Suria nak kahwin. Pakcik nak jumpa Babah boleh?" Kata Siti pada Babah sewaktu mereka terserempak di tempat kerja. Waktu itu Siti dan Babah bekerja di tempat yang sama, sekolah memandu kepunyaan Atuk Siti. Walaupun kerja sekali jarang betul Siti dan Babah berborak. Masa telah menjarakkan hubungan mereka. 

Pagi itu, kerana adik Siti hendak berkahwin, Siti jumpa Babah. Babah setuju untuk ke rumah pakcik, bapa saudara Siti yang telah menjaga Siti dan adik-adik semenjak ditinggalkan Babah belasan tahun lepas. 

Hujung minggu itu seperti yang dijanjikan, Babah telah ke rumah pakcik Siti. 

Setelah selesai berbincang urusan perkahwinan Suria dan urusan wali kata akhir Babah pada pakcik adalah

"Saya tidak membesarkan budak-budak ni. Jadi saya tak mau jadi macam menaguk di air yang keruh. Saya setuju je dengan pilihan anak-anak dan saya ikut je apa yang keluarga Mama mereka tentukan. Cuma saya nak pesan, Suria masih ada kakak yang belum kahwin. Jadi hadiahkan lah sedikit persalinan atau sebentuk cincin buat kakaknya sebagai tanda langkah bendul"

Siti dan Suria berpandangan dan terus memeluk Babah tanda berterima kasih kerana sudi menjadi wali dan memudahkan urusan perkahwinan Suria waktu itu dan Siti pada tahun berikutnya.

#babah

Menyesal

Siti jumpa Babah. Kawan Babah kata dah seminggu Babah bersedih. Asal jumpa je menangis.

Siti teringat kejadian seminggu lepas. Siti telepon Babah. Siti bagitau adiknya Najah sakit tenat. Semua orang dah balik tengok Najah. Babah je belum. Babah kata lepas maghrib nanti Babah datang. Tapi sayangnya asar itu Najah telah pun pulang ke rahmatullah. Mama paling sedih. Itulah anak yang paling rapat dengan Mama kerana itulah satu-satunya anak yang belum berkahwin waktu itu. Siti telepon Babah semula. "Najah dah tak ada"

Sebelum maghrib Babah sampai. Semua keluarga Mama dan Babah ada. Termasuk Atuk. Semua sedih dengan kehilangan Najah. 

Siti dan Suria mandikan jenazah Najah dan kapankan sehingga selesai. Sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan, ahli keluarga dipanggil untuk mencium jenazah untuk kali terakhir. Setiap orang mengambil giliran. Siti boleh lihat betapa remuknya hati Mama tengok jenazah Najah kaku begitu. Mama tak boleh berkata-kata dan kelihatan sangat lemah. Bila giliran Babah, Babah pitam beberapa kali di sisi jenazah Najah.

Adik lelaki Siti mengimamkan solat jenazah. Adik-adik lelaki Siti juga yang telah menyambut jenazah di liang lahad. Babah terduduk lemah disisi kuburan.

"Babah..jangan menangis lagi. Najah dah selamat disisi Allah" pujuk Siti.

"Siti..Babah menyesal tinggalkan Siti dan adik-adik. Sepatutnya Babah yang dipanggil Tuhan dulu. Bukan anak yang tak bersalah yang telah Babah abaikan bertahun-tahun. Babah baru nak tebus kesalahan Babah tapi Najah pula tinggalkan Babah. Babah menyesal Siti..."

Siti menangis bersama Babah...

#babah

Selamat Jalan Babah

Akhirnya setelah merata cari tiket penerbangan dan bas, Siti dapat juga tiket bas terakhir untuk balik Malaysia dari Singapore. Dari petang telepon Siti tak berenti berdering. Makcik Siti memaklumkan yang Babah sakit tenat. Tak lama kemudian, pakciknya pula telepon. Babah dah tak ada. Kemudian mereka telepon lagi untuk urusan jenazah. Kerana Siti waris Babah,mereka mahu uruskan jenazah ikut tempat yang Siti inginkan. Memandangkan Siti di Singapore, Siti terpaksa minta tolong Suria uruskan sementara Siti bergegas dapatkan tiket balik.

Dalam bas Siti bersandar. Cuba pejam mata. 5 jam lagi. Harap dapat jumpa Babah kali terakhir. Siti teringat dua minggu lepas, Siti dan Suria keluar dengan Babah. Mereka buat urusan Bank. Kemudian mereka keluar makan sambil jalan-jalan di shopping Mall.

"Roti canai je..murah" jawab Babah sewaktu Suria tanya Babah nak makan apa. 

"Takmau lah roti canai. Hari ni kitaorang belanja Babah makan sedap-sedap".

Mereka makan di sebuah cafe ternama. Sambil makan mereka berborak panjang. Waktu itu Suria beritahu Babah " lagi 3 hari Suria nak ke San Francisco. Siti pula ke Singapore minggu depan" Babah mengangguk. Babah pesan supaya Siti dan Suria jaga diri di tempat orang. 

Sewaktu hendak balik ke kereta, Babah pegang tangan Siti dan Suria. Mereka bersalaman. Babah cium pipi anak-anaknya.

"Panjang umur kita jumpa lagi. Jaga diri,jaga Mama" pesanan akhir Babah. 

Sampai di Sungai Besi, suami Siti telah pun menunggu Siti. Jam 2 pagi. Siti terus minta suaminya bawa Siti jumpa Babah.

"Maaf sayang. Mereka tak boleh tunggu. Hari dah lewat. Babah dah selamat dikebumikan sejam yang lalu"

Perlahan air mata Siti meleleh membasahi pipi. Selamat jalan Babah. Walaupun kenangan kita bersama tak banyak, Siti tetap akan ingat Babah sampai bila-bila. Semoga Allah ampunkan Babah dan tempatkan Babah bersama para solehin dan jumpa Najah di sana.

#babah

Post a Comment

Previous Post Next Post