Kisah Suami Isteri

 Bismillah..

Keadaan bilik Ustazah Rohana hening seketika. Yang kedengaran cumalah esak tangis geram campur marah si isteri. "Puan...suami cuma mahu puan taat je, bukan mahu berpisah" lembut suara Ustazah Rohana menasihati si isteri sambil mengusap lembut tangan si isteri setelah mendengar luahan perasaan pasangan suami isteri ini hampir sejam.

"Ye saya tahu ustazah! Saya faham apa yang dia nak" bentak si isteri.

"Dah kalau u tahu apa abang nak, kenapa susah sangat nak mintak maaf dan mengaku salah u dan janji tak buat lagi?" 

"Sebab kalau I mintak maaf semalam dan ikut semua cakap abang semalam abang akan tetap terus marah I! Perangai abang tu mana pernah puas. Asyik nak marah je. Yea ustazah.. saya salah.Tapi ustazah tanya dia sekerap mana saya buat kesilapan itu. Dan adakah saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu dirumah? Yea saya salah sebab saya tak mau minta maaf tapi ustazah tanya dia apa dia selalu buat kalau saya minta maaf? Dia takkan berlembut malah dia akan naik tocang dan terus menyindir dan menyakitkan hati saya. Saya dah berenti minta maaf sejak dua tiga tahun lepas demi menjaga hati saya. Kalau saya minta maaf pon saya tunggu lepas dua tiga hari biar dia sejuk dulu" luah si isteri senafas seperti kereta tiada brek sambil teresak-esak menangis. Macam tu lah orang perempuan. Kalau marah menangis, sedih pon menangis. Benarlah kekuatan perempuan ni pada air mata.

"Encik ada nasihat isteri baik-baik? Kenapa encik tak beri ruang pada isteri?" Lembut tutur Ustazah Rohana.

"Saya memang tak suka gaduh lama-lama.Kalau boleh gaduh je kena terus setel" jawab si suami.

"Sebelum gaduh encik ada nasihatkan isteri?"

"Tak ada sebab saya sangat percayakan dia. Tapi bila dia buat salah saya kenalah marah dia"

"Oh tak boleh macam tu encik. Sebelum kita marah atau larang dia kita harus nasihat dan beri peringatan kepada isteri. Isteri ni encik perlu dilayan dengan lembut dan baik. Perlu dinasihati dan sentiasa diberi peringatan seperti Allah beri peringatan kepada kita melalui ayat-ayat al Quran supaya kita mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sekiranya tiada Al Quran sebagai peringatan nescaya kita sentiasa berbuat salah dan bakal menerima hukum Allah di akhirat kelak. Encik harus menasihati dan memberi peringatan sebelum isteri berbuat kesilapan bukan memarahinya setelah dia buat kesilapan" 

"Untuk puan, saya rasa suami puan dah banyak berubah berbanding dahulu. Dan suami puan cuma menasihati puan supaya taat perintahnya. Puan kena lah bersabar dan menerima nasihat suami walaupun sedikit menyakitkan hati caranya tu selama mana suami tidak menyuruh kepada kemungkaran. Ingat puan, taat perintah Allah, taat suami, puan boleh pilih nak masuk syurga melalui mana-mana pintu yang puan suka." Panjang lebar nasihat Ustazah Rohana. 

Isteri tunduk sambil menyeka air mata yang masih tersisa. 

"Ustazah, sebenarnya saya sangat sayangkan isteri saya. Bagi saya dia isteri yang sempurna dan paling cantik. Dia sangat pandai. Dia juga sangat bijak dalam mengatur urusan anak-anak dan makan pakai kami sekeluarga. Dia akan sentiasa memastikan anak-anak kami makan makanan yang baik. Dia bangun seawal jam 5.30 pagi untuk  memasak bekal sekolah anak-anak. Dia juga jarang sekali keluar ke mana-mana tanpa saya menghantarnya. Dia sangat pandai menjaga diri. Saya sangat menyayangi dia kerana dia satu-satunya yang memahami saya dan anak-anak" Laju keluar puji-pujian dari mulut suami.

"Abang tak pernah cakap pon kat i macam tu selama ni? Terima kasih pon tak pernah" sambil menunduk isteri menjawab. Ustazah Rohana tersenyum.

"Tengok puan...suami bukan tak hargai puan. Dia cuma mungkin sebelum ni tak tahu bagaimana nak puji puan sehinggalah puan dan encik ditimpa ujian ini dan terus ke sini untuk khidmat nasihat. Puan tak bangga ke dengan suami puan?"

Pada waktu itu air mata si suami telah mula mengalir laju. Rasa bersalah mula menyelubungi perasaan isteri bila pertama kali melihat suaminya menangis begitu.

"Saya bangga ustazah. Saya sangat bangga dengan suami saya. Benar dia sentiasa menemani saya ke mana saya pergi walaupun saya nak pergi berzumba dia akan tunggu. Malah dia sanggup pula tunggu lagi lepas zumba saya minum pula dengan kawan-kawan saya. Saya bangga mempunyai suami yang bekerja keras untuk keluarga walau dalam apa keadaan sekali pon. Saya tak ada kawan lain ustazah, cuma dia lah kawan saya. Jadi bila dia marah saya merasa kecewa. Walaupun saya rasa kesalahan saya tak sebesar mana dan tak berbaloi dia nak marah saya sebegitu rupa" jawab si isteri masih lagi dalam tangisan.

"Tak pelah. Perkara dah berlalu. Ini memang bukan masalah besar, Encik cuma perlu berjanji jangan berkasar lagi  dan puan perlu berjanji perlu taat pada suami. Dah...sekarang minta maaf. Sebab saya rasa encik dan puan ni sebenarnya pasangan yang hebat. Kasih sayang encik dan puan sangat kuat. Bermaafanlah yea"

Yea...begitulah secebis kisah kami. Kisah Cik Yani dan Cik Wan beberapa minggu lepas. Kami bergaduh besar sehingga terpaksa mencari orang tengah sebagai penyelesai masalah kami. Kisah yang panjang tapi Cik Yani ringkaskan kepada bahagian yang penting sahaja. Yang lain biar kami berdua je yang tau.

Sebenarnya Cik Yani nak ceritakan disini bahawa suami isteri ni sebenarnya kena ada sefahaman. Walaupun kita dah lama bersama tapi kita tak sedar pon masa bila kita menyakitkan hati pasangan kita tanpa kita sengaja. Hati perempuan rapuh. Perlu dibelai dan dikasihi dengan lembut. Suami pula perlu dihormati dan ditaati walaupun mereka sedikit ego.

Suami, sentiasalah beritahu isteri betapa anda mengasihi isteri anda dan buat dia rasa dihargai. Perempuan kan suka puji-pujian. Ingat, happy wife, happy life.

Tapi yang paling utama, letakkan agama nombor satu. Ikut sunnah  Rasulullah (saw) dalam berkeluarga. Bagaimana Rasulullah (saw) dikatakan sebaik-baik manusia dalam melayan isteri. InsyaAllah isteri tetap akan taat walaupun suami berlembut dengan isteri.

Semoga kita semua akhirnya mendapat keluarga yang sakinah mawaddah warrahmah dan disatukan kita semua di syurga Allah

Amiiinn.




Post a Comment

Previous Post Next Post