Berita yang menggusarkan hati

 Bismillah..

Petang tadi sewaktu Cikwan jemput Cikyani pulang dari UCAM, dia mengkhabarkan satu berita yang meruntun hati cikyani sebagai seorang ibu walaupun berita itu tiada kaitan dengan anak-anak Cikyani.

Kata Cikwan "pagi tadi kat Lubuk ada kes mati melibatkan sepasang kekasih muda". Terkejut Cikyani. Terus Cikyani google kes tersebut. Innalillah... sepasang kekasih berusia 20 dan 16 tahun ditemui mati didalam kereta dipercayai terhidu gas karbon monoksida. Pasangan itu dikatakan tertidur dengan aircond kereta terpasang namun kereta tersebut dipercayai telah kehabisan minyak. Tiada unsur perbuatan jenayah ditemui dan juga pasangan tersebut dijumpai lengkap berpakaian dan tiada unsur perbuatan sumbang antara keduanya.

Sebagai seorang ibu terus meruntun sedih hati Cikyani. Anak yang kita kandung dan besarkan meninggal sekelip mata. Belum hilang penat membesarkan anak tapi anak dulu yang meninggalkan kita.

Tak perlu Cikyani hurai lebih-lebih berkaitan arwah atau perbuatan mereka. Cuma Cikyani nak menulis secebis nasihat buat anak-anak yang Cikyani kasihi serta para pembaca yang muda-muda sekalian. Sementelah lagi, kes ini cuma berlaku disekitar kampung tempat tinggal kami dan mangsa adalah rakan sekelas kawan baik Izzah. Terasa dekat betul kes ini dengan kami walaupun kami tidak saling mengenal.

Anak-anak,

Masa muda janganlah disiakan. Buat sesuatu guna akal fikiran yang matang dalam membuat sesuatu. Hidup kita semua adalah pinjaman. Bila-bila masa Allah boleh tarik semula. Tapi sewaktu Allah panggil kita pulang nanti, biarlah dalam keadaan kita sedang berbuat baik, beramal soleh dan menjaga agama Allah sebaik mungkin. Jangan lah dihampakan harapan orang tua. Kasih ibu ayah tiada galang ganti. Walaupun kadang tu perit ibu ayah nak telan melihat perangai anak-anak namun tetap ibu ayah tidak berputus asa berusaha untuk mendapatkan yang terbaik untuk anak-anak supaya anak-anak menjadi insan berguna satu masa nanti.

Yang penting duhai anak, jagalah solatmu,agamamu kerana disaat kamu menjaga solat dan agamamu, InsyaAllah Allah akan pelihara kamu. Jangan sekali-kali kamu meletakkan agama Allah ditempat paling rendah dalam hidupmu supaya kamu tidak menjadi hambaNya yang hina.

Jaga ikhtilat sewaktu bersahabat. Selama hubungan itu cuma kawan mahupun kekasih sekalipun, haram untuk kamu berdua-duan berkasihan sesama kamu. Hormati dirimu dan tundukkan pandangan mu. Ingat lah anak lelaki, hormati wanita yang kamu sayangi dan jangan kamu merosakkan kehormatan wanita tersebut. Anak perempuanku, jaga kehormatan dirimu. Jangan digadai maruah mu demi sebuah cinta yang belum pasti kamu milikki sehingga ke syurga itu. Jika kita hormt diri kita dan maruah kita, InsyaAllah para lelaki akan lebih menghormati kita dan muliakan kita.

Allahuakbar, 

Sewaktu mencoretkan ini, hati Cikyani sangat gusar. Membesarkan anak pada zaman ini sangat mencabar. Nak terlalu berkeras pon tak boleh, nak terlalu lembut pon tak boleh. Tapi sebagai ibu, kita tak boleh putus berdoa semoga Allah sentiasa pelihara anak-anak kita dari sebarang maksiat dan dosa dan lindungi mereka dari malapetaka dan bencana. Yea itu lah doa Cikyani setiap kali lepas solat mahupun sewaktu menghantar anak-anak ke sekolah.

Mama dah usaha. Yang lain kita serah pada Allah. 

















Post a Comment

Previous Post Next Post